Sejarah

Ilmu pengetahuan yang berbentuk akademik adalah satu bekalan hidup untuk masa akan datang. Justeru, para penduduk kampung Penipah telah memohon sebuah bangunan sekolah daripada Majlis Daerah Mukah oleh kerana pihak tersebut yang berkuasa untuk meluluskan perkara seumpama itu.

Dengan semangat gotong-royong penduduk kampung serta masyarakat Iban yang tinggal berdekatan kampung Penipah, akhirnya wujudlah sebuah sekolah pondok yang atapnya dibuat daripada daun nipah dan dindingnya daripada kulit kayu dan batang nibong. Sekolah itu didirikan pada tahun 1962, di mana Guru Besar pertama ketika itu ialah En. Awang Morni Awang Lai.

Murid-murid sekolah pada masa itu terdiri daripada anak-anak penduduk kampung Penipah dan orang-orang Iban dari Ulu Sungai Penipah dan Mateding. Murid-murid Iban yang bersekolah pada ketika itu menumpang di rumah Mak Cik Uput. Dua tahun kemudian, sebuah asrama pondok didirikan dan Mak Cik Uput sendiri yang menjadi tukang masaknya.

Dari tahun ke tahun, bilangan murid-murid sekolah bertambah, demikian jugalah dengan pertukaran Guru Besar dan guru-guru lain. Empat orang Guru Besar telah berkhidmat semenjak sekolah pondok itu didirikan. Mereka ialah En. Awang Morni Awang Lai (1962), En. Yusuf Marsal (1967), En. Awang Hassan Awang Ubi (1968) dan En. Sussex Luka (1971).

Pada tahun 1972, bangunan sekolah baru telah dibina. Guru Besar pada ketika itu ialah En. Abdul Ghani Haji Drahman. Sekolah baru itu dilengkapi dengan bangunan asrama, bilik amah, bilik masak dan dewan makan. Bangunan itu dibuka dengan rasminya oleh Senator Haji Latip Haji Dris pada 22 Jun 1972, manakala bangunan asramanya pula dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, Senator Haji Salleh Jaffaruddin pada 23 Ogos 1977. Cik Sadiyah Saman dilantik menjadi tukang masak yang baru.

Pada tahun 1973, En. Besiri Haji Keri dilantik menjadi Guru Besar. Pada tahun itu jugalah Kerajaan Persekutuan mengambil alih pentadbiran sekolah dari pihak Majlis Daerah. Dalam tahun 1982 hingga pertengahan tahun 1983, Guru Besarnya ialah En. Sazali Morshidi. Bilangan murid ketika itu adalah sebanyak 120 orang dengan empat orang tenaga pengajar. Bagi kemudahan pentadbiran di peringkat sekolah, pejabat sekolah telah didirikan pada akhir tahun 1982. Pada bulan Julai 1983, En. Sazali Morshidi telah berpindah tugas menjadi Pegawai Kebudayaan Belia dan Sukan Daerah Mukah. Maka, En. Ronnie Alphonsus Rais dilantik memangku jawatan tersebut.

Seperti sekolah-sekolah lain dalam daerah Mukah, SK Sungai Penipah membuka kelas KBSR Tahun Satu pada tahun 1983. Setelah itu, terdapat tiga buah kelas KBSR dan dan satu kelas KLSR. Dalam bidang akademik, murid-murid sekolah hanya mampu mendapat 1A dalam Peperiksaan Penilaian Darjah Lima pada tahun 1984 iaitu mata Pelajaran Bahasa Malaysia. Dalam kegiatan kokurikulum, murid-murid pernah mengambil bahagian dalam pertandingan kebudayaan dan sukan anjuran MSSR Daerah Mukah.