Selamat Hari Raya Aidilfitri


Ramadhan berlalu pergi. Setelah sebulan umat Islam seluruh dunia menahan lapar dan dahaga serta membuat amalan mahmudah yang berkualiti serta bersungguh-sungguh, kini tiba pula bulan Syawal, bulan berhari raya dan bulan umat Islam kembali kepada fitrah seorang manusia yang suci hatinya. Marilah kita menyambut lebaran dengan penuh kesyukuran. Di samping juadah-juadah yang menyelerakan, jangan kita lupa golongan yang kurang bernasib baik dan berpada-padalah berseronok bersama ahli keluarga dan sanak-saudara.

Selamat menyambut hari raya Aidilfitri, maaf zahir batin.

Ahlan Ya Ramadhan

Allah berfirman yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman, tertulis (diwajibkan) ke atas kamu berpuasa seperti mana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertaqwa" (surah al-Baqarah: 183)


Setelah setahun berlalu, akhirnya Ramadhan bertandang lagi dengan segala rahmat dan keampunan di dalamnya. Marilah kita sebagai umat Islam menyambut dengan penuh kesyukuran dan rendah diri.

Oleh itu, seluruh warga SK Sungai Penipah mengucapkan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak. Semoga seluruh amalan dan perbuatan kita diredhai Allah.


Selamat Hari Gawai 2012

Seluruh warga SK Sungai Penipah mengucapkan selamat menyambut Hari Gawai 2012 kepada guru-guru, murid-murid dan seluruh masyarakat Iban dan Dayak. Untuk penerangan lebih lanjut mengenai Hari Gawai Dayak, sila layari:

Gayu Guru Gerai Nyamai.




Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah 2012


Pada 24 Mei 2012 (Khamis), satu sambutan hari guru peringkat SK Sungai Penipah telah diadakan dalam suasana sederhana tetapi warna warni. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu-lagu patriotik, bacaan doa, ucapan Guru Besar, Encik Rahim Topani, bacaan perutusan-perutusan oleh En. Mohamad Samuri Sahid dan En. Harun Bakir, persembahan murid-murid prasekolah dan Tahun 6, bacaan ikrar dan nyanyian lagu-lagu oleh guru-guru, acara memotong kek dan acara penyampaian hadiah dan cenderahati. Majlis bahagian pertama tamat lebih kurang pukul 10.00 pagi.





Setelah itu, bermula pula bahagian kedua iaitu pertandingan bola sepak 4 penjuru antara rumah-rumah sukan. Semua guru, AKS dan murid-murid terlibat dalam pertandingan tersebut. Pada akhirnya, seluruh warga SK Sungai Penipah menyaksikan Rumah Wira (Biru) menjadi johan.






Apa yang pentingnya, sambutan ini memberi impak yang positif dalam diri guru-guru seperti perasaan dihargai, menetapkan azam lebih baik dan bertambah rapat dengan murid-murid. Murid-murid pula menganggap setiap guru sebagai insan serba boleh yang boleh dicontohi oleh semua murid. Semoga ia menjadi batu loncatan untuk kebaikan semua pada masa hadapan.

Selamat Hari Guru 2012


Hari Guru di Malaysia disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai penghargaan kepada para guru. Tarikh ini dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.


Tema Hari Guru pada tahun 2012 ialah "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara". Justeru, marilah kita sebagai warga pendidik untuk menetapkan tekad dan azam untuk berusaha lebih keras mendidik anak bangsa menjadi modal insan yang berguna.


Begitu jugalah sebagai murid atau pelajar, hargailah pengorbanan yang telah dicurahkan oleh guru. Mereka berkhidmat di barisan hadapan dan di belakang tabir. Ramai yang tidak mengetahuinya, tetapi guru tetap seperti biasa, menjalankan amanah yang telah diberikan dengan sebaiknya. Semoga kita menjadi manusia yang sentiasa mengingati jasa guru yang telah mendidik kita.

PKSR Pertengahan Tahun 2012

Untuk makluman semua, PKSR Pertengahan Tahun 2012 SK Sungai Penipah akan bermula pada 14 - 17 Mei 2012. Diharap murid-murid dapat menjawab soalan dengan tenang dan cermat.

Tips Sebelum Memulakan Peperiksaan
1. Dengar arahan guru yang mengawas.
2. Pastikan kertas soalan lengkap.
3. Lihat semua soalan jika dibenarkan berbuat demikian.
4. Bacalah doa sebelum peperiksaan.

Semoga berjaya dalam peperiksaan!


Pemeriksaan Kesihatan T1 & T6

Pada 10 Mei 2012, para staf dan jururawat dari Pejabat Kesihatan Daerah Mukah telah bertandang ke SK Sungai Penipah untuk memberikan khidmat pemeriksaan kesihatan kepada murid-murid Tahun 1 dan Tahun 6. Pemeriksaan untuk Tahun 1 berlangsung pada waktu pagi manakala Tahun 6 pada tengah hari.

Antara khidmat yang telah disumbangkan oleh mereka ialah taklimat kesihatan diri, pemeriksaan mata, suntikan, dan pemberian ubat-ubat terpilih.

Ribuan terima kasih kepada staf-staf dari Jabatan Kesihatan Daerah Mukah kerana sama-sama menyumbang dalam meningkatkan tahap kesihatan di kalangan murid-murid sekolah rendah. Diharapkan agar timbul kesedaran dalam diri setiap murid untuk sama-sama menjaga kesihatan diri demi kesejahteraan semua. Murid sihat, sekolah sejahtera.


Selamat Hari Pekerja 2012

Seluruh warga SK Sungai Penipah mengucapkan Selamat Hari Pekerja 2012 kepada semua pekerja di Malaysia. Semoga kita menetapkan azam untuk bekerja lebih keras dan cekap demi mewujudkan hasil yang produktif, bukan sahaja untuk diri kita, malahan untuk seluruh rakyat Malaysia.

Bola Sepak MSS Sarawak 2012

Pada 24 - 28 April yang lalu, berlangsungnya Pertandingan Bola Sepak 12 TKB MSS Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Betong, Sarawak. Lokasi-lokasi pertandingan untuk 12 tahun ke bawah adalah di SK Nanga Ajau dan SK Paku Sentral.

Walaupun Bahagian Mukah gagal melayakkan diri ke pusingan seterusnya, namun 3 pemain Bahagian Mukah dari SK Sungai Penipah telah dicalonkan untuk ke pertandingan di peringkat kebangsaan. Mereka ialah:
1. Bonneface Sylvester Ganing Ancha - Backward
2. Wilson Larry Amba - Backward
3. Holly Limbai - Midfield





Bola Sepak Pantai @ Kaul

Pada 22 April 2012 (Ahad) yang lalu, SK Sungai Penipah telah menyertai pertandingan bola sepak pantai sempena Pesta Kaul Mukah. Hasil usaha keras pemain-pemain, SK Sungai Penipah berjaya merangkul tempat ketiga. Johan dirangkul oleh SK Datuk Awang Udin dan naib johan disandang oleh SK Kampung Tellian.




Berikut adalah senarai pemain-pemain:
1. Mohd Yusuf Mohd Suffian (T4)
2. Melvin Jamil (T5)
3. Mohd Azmeer Yusop (T6)
4. Charles Uching Bali (T6)
5. Abang Abu Bakar Abang Mantali (T6)
6. Bonneface Sylvester Ganing Ancha (T6)
7. Wilson Larry Amba (T6)
8. Holly Limbai (T6)