Selamat Hari Guru 2012


Hari Guru di Malaysia disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai penghargaan kepada para guru. Tarikh ini dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.


Tema Hari Guru pada tahun 2012 ialah "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara". Justeru, marilah kita sebagai warga pendidik untuk menetapkan tekad dan azam untuk berusaha lebih keras mendidik anak bangsa menjadi modal insan yang berguna.


Begitu jugalah sebagai murid atau pelajar, hargailah pengorbanan yang telah dicurahkan oleh guru. Mereka berkhidmat di barisan hadapan dan di belakang tabir. Ramai yang tidak mengetahuinya, tetapi guru tetap seperti biasa, menjalankan amanah yang telah diberikan dengan sebaiknya. Semoga kita menjadi manusia yang sentiasa mengingati jasa guru yang telah mendidik kita.