Pesta Kaul Mukah, tradisi yang menghimpunkan pelbagai upacara dan adat resam yang menarik dengan seribu keunikan akan berlangsung pada 21 - 29 April 2012 di Taman Kala Dana dan sekitar bandar Mukah.
Pesta Kaul berbentuk keramaian masyarakat Melanau yang diraikan setiap tahun ini dahulunya adalah perayaan keagamaan masyarakat Melanau pagan untuk memohon restu daripada penunggu laut, darat, ladang dan hutan agar penunggu tidak mengganggu mereka ketika mencari rezeki. Dahulunya, pesta kaul lebih berbentuk ritual-ritual, mantera dan sembahan.
Kini, Pesta Kaul Mukah telah menjadi medan perkelahan terbesar masyarakat Melanau dan Sarawak secara keseluruhannya, serta manifestasi khazanah budaya kaum Melanau dari aspek pakaian, kraftangan, makanan, permainan, tarian dan adat resam. Lebih-lebih lagi pesta ini telah diabadikan dalam kalendar pelancongan tahunan Negeri Sarawak.
Maka, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung dan merasai sendiri kehangatan Pesta Kaul Mukah dan menyelami satu lagi kebudayaan kaum di Malaysia. Malaysia Truly Asia.